Perkhidmatan Bantuan Kesejahteraan Sosial
PENGENALAN
Perkhidmatan bantuan kebajikan disediakan kepada golongan berkeperluan bagi maksud Pencegahan, Pemulihan, Perlindungan, Pembangunan dan Pengintegrasian (5P) kumpulan sasar Jabatan ke dalam masyarakat yang dilaksanakan melalui Praktis Kerja Sosial.
Pelaksanaan bantuan kewangan adalah selaras dengan Senarai Bersama (Concurrent List) antara Kerajaan Persekutuan dengan Kerajaan Negeri, yang termaktub dalam peruntukan Perlembagaan Persekutuan Malaysia di bawah Senarai 3 – Jadual Kesembilan Senarai Perundangan.
Perkhidmatan bantuan kewangan dilaksanakan di peringkat Negeri dan Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah/ Jajahan/ Bahagian/ Cawangan (PKMD/J/B/C) di seluruh Negara. Setiap permohonan yang diterima dan dirujuk akan disiasat di peringkat Negeri dan PKMD/J/B/C.
Pada 1 Januari 2023, skim bantuan bulan JKM telah dikategorikan kepada Skim Bantuan Produktif dan Skim Bantuan Tidak Produktif. Bermula dari tarikh ini, proses kaji semula hanya dikhususkan bagi Skim Bantuan Produktif manakala Skim Bantuan Tidak Produktif perlu dibuat pemantauan dan penilaian setahun sekali.
OBJEKTIF PEMBERIAN BANTUAN
- Memenuhi keperluan asas (basic needs) bagi meringankan beban penerima bantuan.
- Alat sokongan sosial (social support tools) untuk membantu penerima bantuan ke arah berdikari dan mengurangkan kebergantungan kepada bantuan.
- Alat pemulihan (rehabilitation tools) agar penerima bantuan terus kekal tinggal bersama keluarga/ komuniti/ masyarakat.
- Sebagai sumber kewangan sementara penerima bantuan meneruskan kelangsungan dan kesejahteraan hidup.
FALSAFAH BANTUAN
Secara prinsipnya, dalam melaksanakan pemberian bantuan kepada rakyat, Kerajaan Malaysia tidak sesekali mengamalkan konsep Negara Kebajikan (Welfare State). Proses Pemberian bantuan kewangan juga mengambil kira potensi yang ada pada setiap penerima bantuan yang masih produktif ke arah hidup berdikari. Permohonan yang lengkap akan disiasat dan dipertimbangkan berdasarkan KELAYAKAN DAN BUKAN HAK tanpa mengira latar belakang, kaum, agama dan jantina.
KONSEP BANTUAN
Bantuan kebajikan adalah BERSIFAT SEMENTARA. Bantuan ini bagi membantu individu/ keluarga pemohon yang berkeperluan agar dapat meneruskan kehidupan yang lebih baik dan berkualiti. Pemberian bantuan ini berdasarkan prinsip kerja sosial untuk meningkatkan kefungsian sosial mereka.
KRITERIA KELAYAKAN AM/ASAS
-
Warganegara dan bermastautin di Malaysia.
-
Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) tidak melebihi RM1,198.00 sebulan bagi Bantuan Negeri manakala Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) tidak melebihi RM1,236.00 bagi Bantuan Persekutuan.
-
Golongan berkeperluan dan tidak berkemampuan.
Catatan : Kelulusan bantuan adalah tertakluk kepada siasatan dan keadaan sesuatu kes.
SKIM BANTUAN
Skim bantuan JKM Sarawak terbahagi kepada dua (2) iaitu:
-
Skim Bantuan Persekutuan
-
Bantuan Bulanan
-
Elaun Pekerja Orang Kurang Upaya (EPOKU)
-
Bantuan Orang Kurang Upaya Tidak Berupaya Bekerja (BTB)
-
Bantuan Penjagaan Orang Kurang Upaya Terlantar, Pesakit Kronik Terlantar Dan Pesakit Kronik Tidak Terlantar (BPT)
-
Bantuan Warga Emas (BWE)
-
Bantuan Anak Pelihara (BAP)
-
Bantuan Sekaligus
-
Tabung Bantuan Segera (TBS)
-
-
Skim Bantuan Negeri
-
Bantuan Bulanan
-
Bantuan Am (BA)
-
Bantuan Belia-Beliawanis (BBB)
-
Bantuan Sekaligus
-
Bantuan Alat Tiruan/Sokongan (BATS)
-
Bantuan Sekolah
-
Bantuan Pengurusan Jenazah
-
Bantuan Kes Terkandas/Terdampar
-
Bantuan Bekas Pesakit
-
-
Bantuan Inisiatif Kerajaan Negeri Sarawak
-
Bantuan Khas Pesakit Buah Pinggang (BPBP)
-
Bantuan Perubatan (BP)
