Pengurusan Bantuan Bencana
FUNGSI DAN PERANAN
Fungsi dan peranan Jabatan Kebajikan Masyarakat dalam pengurusan bencana sepertimana Arahan Nadma No.1 dalam Perkara 19: Peranan Dan Tanggungjawab Agensi Bantuan Dan Pemulihan Dan Badan-Badan Sukarela Dalam Kerja-Kerja Bantuan Dan Pemulihan Di Tempat Kejadian iaitu:
- Menyelaraskan pengurusan pusat pemindahan.
- Menyedia dan menguruskan pusat-pusat pemindahan mangsa Bencana.
- Menyedia dan mengedarkan bantuan makanan, pakaian dan lain-lain keperluan asas kepada mangsa Bencana.
- Menjalankan pendaftaran mangsa Bencana di pusat pemindahan bagi maksud Pemulihan.
- Menyelaras dan menjalankan perkhidmatan kaunseling, intervensi krisis dan sokongan psikologi kepada mangsa Bencana di pusat pemindahan.
- Menjalankan tugas-tugas pasca Bencana.
TAHAP PENGURUSAN BENCANA
Tahap-tahap pengurusan dan pengendalian Bencana adalah seperti berikut:
- “Pengurusan Bencana Tahap I” ialah pengurusan dan pengendalian kejadian Bencana yang berlaku di sesuatu kawasan dan ianya dapat ditangani dengan berkesan oleh agensi-agensi yang terlibat di dalam pengurusan Bencana di peringkat Daerah yang memerlukan penggemblengan sumber di peringkat Daerah dengan bantuan yang terhad daripada peringkat Negeri dan Pusat.
- “Pengurusan Bencana Tahap II” ialah pengurusan dan pengendalian kejadian Bencana yang berlaku lebih daripada satu Daerah di Negeri yang sama atau berlaku di suatu kawasan yang memerlukan penggemblengan sumber di peringkat Negeri dengan bantuan yang terhad daripada peringkat Pusat. Walau bagaimanapun, sekiranya sesuatu Bencana melibatkan lebih daripada satu Daerah, tetapi masih mampu diuruskan di peringkat Daerah, ia masih lagi boleh dianggap sebagai Bencana Tahap I.
- “Pengurusan Bencana Tahap III” ialah pengurusan dan pengendalian kejadian Bencana yang berlaku lebih daripada satu negeri atau bersifat kompleks di suatu kawasan yang memerlukan penyelarasan dan penggemblengan sumber di peringkat Pusat atau dengan bantuan dari luar negara. Walau bagaimanapun, sekiranya sesuatu Bencana melibatkan lebih daripada satu negeri, tetapi masih mampu diuruskan di peringkat Negeri masing-masing, ia masih lagi boleh dianggap sebagai Bencana Tahap II.
MEKANISME TINDAK BALAS
Tatacara Pengurusan Tindak Balas Bencana
Tatacara Tindak Balas Bencana di setiap peringkat pentadbiran Kerajaan bagi mengurus sesuatu kejadian Bencana mengikut tahap-tahap yang disebutkan di bawah Perkara 16 (Arahan Nadma No 1) adalah melalui mekanisme seperti yang berikut:
Tatacara Pengurusan Tindak Balas Bencana
Tatacara Tindak Balas Bencana di setiap peringkat pentadbiran Kerajaan bagi mengurus sesuatu kejadian Bencana mengikut tahap-tahap yang disebutkan di bawah Perkara 16 (Arahan Nadma No 1) adalah melalui mekanisme seperti yang berikut:
- Pengurusan Bencana Tahap I (Peringkat Daerah)
- sesuatu kejadian Bencana pada peringkat permulaan hendaklah dikendalikan oleh agensi-agensi yang bertanggungjawab dengan menggunakan kemudahan-kemudahan dan sumber-sumber yang ada di peringkat pentadbiran Daerah. Agensi Tindak Balas atau mana-mana agensi berkaitan yang pertama tiba di tempat kejadian perlu bertindak segera dalam konteks menyelamatkan nyawa dan mengurangkan kerosakan dan kerugian serta mengawal situasi mengikut kepakaran/bidang tugas masing-masing.
- Ketua Polis Daerah dan Ketua Zon Bomba, selepas mendapat maklumat mengenai sesuatu kejadian Bencana, hendaklah mengambil alih dan bertindak segera untuk mengendalikan Bencana berkenaan dengan dibantu oleh Agensi Tindak Balas serta agensi-agensi lain yang berkenaan. Ketua Polis Daerah dan Ketua Zon Bomba hendaklah masing-masing bertindak sebagai Komander dan Timbalan Komander Operasi Bencana.
- Pengerusi JPBD bertanggungjawab merangka Tindak Balas Bencana dan memastikan Tindak Balas Bencana dilaksanakan dan diuruskan secara teratur.
- Pengerusi JPBD bersama-sama Komander Operasi Bencana bertanggungjawab membuat penilaian mengenai kejadian dan keupayaan semua agensi di peringkat Daerah dalam mengendalikan Bencana tersebut bagi menetapkan tahap pengurusan Bencana dan membuat perisytiharan melalui kaedah yang sesuai. Apabila Bencana Tahap I telah diisytiharkan, Sekretariat JPBD adalah bertanggungjawab untuk memaklumkan pengaktifan JPBD. Dalam proses Tindak Balas menangani Bencana itu dilaksanakan, Pengerusi JPBD hendaklah memaklumkan kepada Pengerusi JPBN berkaitan. Sekiranya sesuatu Bencana tidak dapat ditangani di peringkat Daerah, Pengerusi JPBD hendaklah memaklumkan kepada Pengerusi JPBN untuk penyelarasan bantuan segera. Jentera pengurusan Bencana di peringkat Daerah hendaklah terus beroperasi walaupun setelah mendapat bantuan daripada peringkat Negeri dan Pusat.
- Pengurusan Bencana Tahap II (Peringkat Negeri)
- Pengurusan Bencana Tahap II bermaksud JPBN mengguna dan menggerakkan sumber-sumber di bawah kawalannya bagi membantu pengurusan kejadian Bencana di peringkat Daerah atau mengambil alih tugas mengurus kejadian Bencana tersebut dari pengurusan Bencana di peringkat Daerah secara keseluruhan.
- Ketua Polis Negeri dan Pengarah Bomba dan Penyelamat Negeri adalah bertanggungjawab sebagai Komander dan Timbalan Komander Operasi Bencana apabila pengendalian Bencana diambil alih secara keseluruhannya oleh peringkat Negeri.
- Pengerusi JPBN bertanggungjawab untuk menggerakkan jentera pengurusan Bencana di peringkat Negeri bagi memastikan segala tindakan dilaksanakan secara teratur dan cekap.
- Pengerusi JPBN bersama-sama Komander Operasi Bencana bertanggungjawab membuat penilaian mengenai Bencana dan keupayaan semua agensi di peringkat Negeri dalam mengendalikan Bencana tersebut bagi menetapkan tahap pengurusan Bencana dan membuat perisytiharan melalui kaedah yang sesuai. Dalam proses Tindak Balas menangani Bencana itu dilaksanakan, Pengerusi JPBN hendaklah memaklumkan kepada Kerajaan Negeri.
- Pengerusi JPBN atas nasihat Komander Operasi Bencana bertanggungjawab menentukan keupayaan agensi-agensi dalam mengendalikan sesuatu Bencana dan jika bantuan diperlukan, Pengerusi JPBN hendaklah memaklumkan dengan segera kepada Pengerusi JPBP.
- Pengurusan Bencana Tahap III (Peringkat Pusat)
- Pengurusan Bencana Tahap III bermaksud JPBP mengguna dan menggerakkan sumber-sumber di bawah kawalannya bagi membantu pengurusan kejadian Bencana di peringkat Negeri dan Daerah atau mengambil alih tugas mengurus kejadian Bencana tersebut secara keseluruhan.
- Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Timbalan Ketua Pengarah Operasi, JBPM bertanggungjawab sebagai Komander dan Timbalan Komander Operasi Bencana apabila pengurusan Bencana diambil alih secara keseluruhannya oleh peringkat Pusat.
- NADMA bertanggungjawab menggerakkan JPBP bagi menentukan semua perkara yang melibatkan dasar dan keputusan berkaitan operasi mencari dan menyelamat dan gerakan bantuan kepada mangsa Bencana dan sebagainya dilaksanakan secara cekap dan berkesan.
- Pengerusi JPBP bersama-sama Komander Operasi Bencana/Agensi Peneraju bertanggungjawab membuat penilaian mengenai Bencana dan keupayaan semua agensi di peringkat Pusat dalam mengendalikan Bencana tersebut bagi menetapkan tahap pengurusan Bencana dan membuat perisytiharan melalui kaedah yang sesuai. Dalam proses Tindak Balas menangani Bencana itu dilaksanakan, Pengerusi JPBP hendaklah memaklumkan kepada Kerajaan Persekutuan.
- Setelah penilaian dibuat dan didapati bahawa pengurusan Bencana di dalam negara tidak mempunyai keupayaan yang mencukupi atau kepakaran tertentu untuk menangani sesuatu kejadian Bencana tersebut, JPBP melalui NADMA boleh menyelaras permohonan atau menerima tawaran bantuan dari negara-negara luar atau pertubuhan antarabangsa.
PELAKSANAAN TANGGUNGJAWAB JKM TERBAHAGI KEPADA TIGA PERINGKAT, IAITU SEBELUM BENCANA, SEMASA BENCANA DAN SELEPAS BENCANA
SEBELUM
SEBELUM
- Mengumpul maklumat kawasan berisiko bencana
- Mengenal pasti dan menyenaraikan pusat pemindahan sementara
- Pelantikan pengurusan dan jawatankuasa pusat pemindahan sementara
- Bekalan keperluan asas dan makanan
- Direktori petugas
- Maklumat asas penduduk
- Keperluan logistik dan fasiliti
- Penyimpanan bantuan bencana
- Pengurusan pusat pemindahan
- Pelaksanaan latihan simulasi
- Persediaan sistem telekomunikasi
SEMASA
- Pembukaan dan penutupan pusat pemindahan sementara
- Penerimaan dan pendaftaran mangsa
- Pembekalan makanan dan barangan keperluan bantuan bencana
- Penyaluran bantuan kepada mangsa berpindah di pusat pemindahan
- Penyaluran bantuan kepada mangsa tidak berpindah
- Perkhidmatan Intervensi Krisis dan Sokongan Psikologi (IKSP)
- Pelaksanaan aktiviti di pusat pemindahan sementara
- Pengurusan sukarelawan
- Mobilisasi pegawai dan kakitangan
SELEPAS
- Bantuan pemulihan
- Program pembersihan dan khidmat komuniti kepada golongan memerlukan
- Perkhidmatan intervensi krisis dan sokongan psikologikal
- Mesyuarat Post Mortem
