Jentera Dasar Sosial Negara Di Peringkat Akar Umbi (NADI)

 

Jentera Dasar Sosial Negara di Peringkat Akar Umbi (NADI)


NADI

PENGENALAN

Masyarakat kerap didedahkan kepada pelbagai masalah sosial dlam kehidupan harian yang melibatkan semua lapisan masyarakat. Masalah-masalah sosial seperti kes penderaan, lari dari rumah, penagihan dadah, sumbang mahram, keganasan rumah tangga, perlakuan devian di kalangan remaja, pelacuran, perceraian dan sebagainya sering diketengahkan dan memerlukan program-program intervensi awal, pemulihan dan pembangunan insan secara keseluruhannya. Setiap permasalahan sosial yang berlaku akan memberikan kesan negatif serta melibatkan bebanan kos sosial yang tinggi. Justeru itu, adalah wajar agar masalah-masalah sosial dan isu-isu yang berkaitan dengannya dapat ditangani dengan lebih berkesan diperingkat akar umbi.

Antara fungsi Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat(KPWKM) ialah melaksanakan program-program pembangunan masyarakat khususnya untuk kumpulan sasar wanita, keluarga dan masyarakat. Bagi mencapai hasrat ini KPWKM telah mengambil pelbagai pendekatan seperti penubuhan jentera pembangunan sosial di peringkat akar umbi iaitu:

  1. Majlis Pembangunan Wanita dan Keluarga (MPWK) yang bertanggungjawab mengenalpasti dan menyelesaikan isu-isu berkaitan dengan wanita dan keluarga. MPWK telah diwujudkan di semua kawasan Parlimen.

  2. Majlis Kebajikan Pembangunan Masyarakat (MAYANG) yang telah ditubuhkan di semua 222 kawasan parlimen di seluruh negara. MAYANG ditubuhkan sebagai usaha kerajaan menggembleng semua pihak di peringkat akar umbi khususnya masyarakat setempat bagi menangani isu-isu berkaitan kebajikan dan pembangunan masyarakat.

Tujuan KPWKM mewujudkan jentera ini adalah bagi meningkatkan lagi keberkesanan mekanisme penyampaian perkhidmatan sosial kepada rakyat. Bagi melengkapkan lagi jentera pembangunan sosial pada peringkat akar umbi, KPWKM telah mewujudkan NADI pada peringkat kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) dan 13 kawasan Parlimen di Wilayah Persekutuan yang bertujuan menangani permasalahan gejala sosial di peringkat akar umbi. Pewujudan mekanisme NADI telahpun dimaklumkan kepada Jemaah Menteri pada 28 Mac 2007 dan ianya direstui oleh Jemaah Menteri.

NADI ditubuhkan sebagai usaha kerajaan untuk menggemblengkan semua pihak di peringkat akar umbi khususnya masyarakat setempat dalam usaha menangani gejala sosial. Penubuhan NADI ini akan mempertingkatkan lagi jaringan kerja (networking) sektor-sektor yang bertanggungjawab dalam urusan pembangunan sosial termasuk kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), sektor korporat dan orang perseorangan di peringkat akar umbi. Pewujudan mekanisme ini adalah penting bagi memastikan keberkesanan pelaksanaan Dasar Sosial Negara (DSN) melalui penglibatan masyarakat di peringkat akar umbi. Ini adalah kerana jentera pelaksanaan DSN yang sedia wujud di peringkat pusat, negeri dan daerah tidak mampu memberikan perhatian yang wajar kepada isu-isu sosial yang terdapat di peringkat komuniti itu sendiri. Dengan penglibatan masyarakat dan pemimpin setempat maka adalah diharapkan isu-isu sosial dapat ditangani secara lebih berkesan seperti yang dihasratkan oleh DSN.

FUNGSI

Pengurusan NADI berlandaskan kepada fungsi seperti berikut:

  1. membantu pencapaian matlamat DSN di peringkat akar umbi

  2. membantu dalam mengenalpasti isu-isu sosial dan masalah pembangunan sosial di peringkat akar umbi serta mencadangkan tindakan penyelesaiannya

  3. membantu melaksanakan program-program pembangunan komuniti melalui program penggalakan, pencegahan, intervensi awal dan pemulihan

  4. bertindak sebagai pakar rujuk dalam keperluan pembangunan komuniti dan

  5. membantu membangunkan komuniti melalui kerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), sektor swasta, agensi-agensi kerajaan dan pemimpin tempatan serta komuniti setempat