Frequently Asked Questions

 

FAQ - Frequently Asked Question

1. PERKHIDMATAN BANTUAN KEWANGAN
1.1. Siapakah Kumpulan Sasar JKM?

Kumpulan sasar JKM adalah terdiri daripada kanak-kanak, warga emas, orang kurang upaya (OKU), keluarga, orang papa, mangsa bencana, mangsa keganasan rumah tangga, pesalah muda, komuniti rentan dan mangsa pemerdagangan orang.
 

 
1.2. Adakah bantuan kewangan JKM layak dipertimbangkan kepada pemohon yang berstatus Pemastautin Tetap (PR)?

Tidak layak dipertimbangkan.
 

 
1.3. Adakah bantuan kewangan JKM boleh dipertimbangkan kepada keluarga / penjaga yang mempunyai anak yang masih belum disahkan status kewarganegaraan

Tidak layak dipertimbangkan sehinggalah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) mengesahkan status kewarganegaraan kanak-kanak tersebut kecuali Bantuan Anak Pelihara yang tertakluk kepada punca kuasa pemeliharaan adalah dari Program Anak Pelihara JKM dan Akta Kanak-Kanak 2001.
 

 
1.4. Terdapat beberapa buah keluarga yang tinggal bersama-sama. Adakah keluarga tersebut layak memohon satu bantuan untuk semua isi rumah atau setiap keluarga boleh memohon bantuan secara berasingan?

Setiap keluarga boleh memohon secara berasingan. Pengiraan bilangan keluarga adalah mengikut bilangan Ketua Isi Rumah (KIR). Bantuan diberi berdasarkan kepada keluarga atau individu mengikut skim bantuan yang ditetapkan sekiranya memenuhi syarat kelayakan.
 

 
1.5. Adakah Bantuan Kanak-Kanak (BKK) layak diberikan kepada keluarga / penjaga yang sedang dalam proses mendaftar lewat kelahiran kanak-kanak dengan JPN

Layak sekiranya keluarga / penjaga adalah warganegara Malaysia.
 

 
1.6. Bolehkah seorang kanak-kanak bertaraf warganegara yang dipelihara oleh ibu bapa yang bukan warganegara menerima bantuan BKK?

Boleh dipertimbangkan dengan syarat kanak-kanak tersebut adalah warganegara Malaysia.
 

 
1.7. Berapakah had umur OKU yang layak diberikan Elaun Pekerja Cacat (EPC)?

OKU yang berumur 16 tahun dan ke atas. Tiada had umur maksimum selagi OKU tersebut bekerja dan menepati syarat yang telah ditetapkan dalam pemberian EPC.
 

 
1.8. Siapakah yang layak mengesahkan OKU yang bekerja sendiri?

Pengesahan OKU yang bekerja sendiri oleh pihak yang berautoriti seperti Pengerusi Majlis Perwakilan Komuniti Kampung (MPKK) / Penghulu / Penggawa / Ketua Kampung / Pegawai Kerajaan Kumpulan Pengurusan Pengurusan dan Profesional / Pegawai Kebajikan Masyarakat Daerah atau Pegawai Kes.
 

 
1.9. Adakah gaji minimum penerima EPC ditetapkan kerana terdapat penerima EPC yang nmenerima upah yang sangat minium RM5/RM10 sehari?

Tiada had gaji minimum ditetapkan.
 

 
1.10. Adakah seorang OKU layak menerima EPC jika beliau mendapat gaji asas tidak melebihi RM1,200 dan setelah menerima elaun lebih masa menyebabkan pendatan bulanan melebihi RM1,200?

Layak dipertimbangkan atas sebab elaun kerja lebih masa (overtime) tidak dikira sebagai pendapatan tetap bulanan.
 

 
1.11. Adakah penerima EPC layak diberikan Bantuan Alat Tiruan / Alat Sokongan (BAT) / Bantuan Geran Pelancaran (BGP) memandangkan syarat BAT dan BGP diberikan kepada mereka yang berpendapatan di bawah PGK Miskin Semasa?

Layak diberikan BAT / BGP kerana golongan ini merupakan kumpulan sasar dan penerima bantuan JKM.
 

 
1.12. Adakah seorang isteri yang menerima Bantuan Penjagaan OKU Terlantar / Pesakit Kronik Terlantar (BPT) kerana menjaga suaminya yang terlantar dan mempunyai 10 orang anak layak menerima bantuan BKK?

BKK tidak boleh diluluskan di atas nama isteri yang telah menerima BPT. Walau bagaimanapun, BKK boleh dipertimbangkan ataas nama anak yang paling dewasa sekiranya memenuhi kelayakan BKK.
 

 
1.13. Adakah warga emas sebatang kara menumpang di rumah orang lain yang berpendapatan melebihi PGK Isi Rumah Semasa layak dipertimbangkan Bantuan Warga Emas (BWE)?

Layak dipertimbangkan berdasarkan siasatan dan justifikasi yang kukuh seperti menumpang di rumah orang lain bagi membolehkan warga emas tersebut terus tinggal dalam komuniti.

 
1.14. Adakah wang perbelanjaan yang diberikan oleh anak adalah termasuk dalam PGK Isi Rumah Semasa?

PGK Isi Rumah Semasa mengambil kira semua sumber yang mendatangkan pendapatan.
 

 
1.15. Apakah takrifan “Tidak mempunyai ibu bapa dan tinggal bersama keluarga ganti” di dalam kriteria Bantuan Anak Pelihara (BAP)?

Keluarga ganti adalah waris atau penjaga yang berkelayakan dan tidak terikat dengan Perintah Mahkamah Bagi Kanak-Kanak dan mana-mana Undang-Undang atau Peraturan.
 

 
1.16. Adakah keluarga yang mengambil kanak-kanak yang bukan warganegara layak dipertimbangkan BAP?

Tidak layak dipertimbangkan.

 
1.17. Adakah keluarga yang memperolehi anak pelihara berstatus stateless melalui Program Anak Pelihara JKM atau melalui Perintah Mahkamah Bagi Kanak-Kanak dipertimbangkan BAP?

Layak dipertimbangkan kerana punca kuasa pemeliharaan adalah dari Program Anak Pelihara JKM dan Akta Kanak-Kanak 2001.
 

 
1.18. Adakah keluarga lain yang menjaga kanak-kanak yang kematian ibu bapa (yatim piatu) layak dipertimbangkan BAP?

Layak dipertimbangkan sekiranya ahli keluarga tersebut adalah keluarga ganti kepada kanak-kanak melalui surat atau laporan siasatan JKM.
2. PERKHIDMATAN ORANG KURANG UPAYA (OKU)
2. 1. Mengapa Orang Kurang Upaya (OKU) digalakkan mendaftar dengan JKM?

Sebab utama adalah seperti berikut:
  • Supaya kerajaan dapat mengetahui bilangan sebenar dan taburan OKU di negara ini bagi maksud perancangan perkhidmatan, program pemulihan, intervensi awal, pencegahan, latihan dan pendidikan.
  • Supaya kerajaan dapat merancang kesesuaian program-program latihan, pendidikan dan pemulihan bagi golongan kurang upaya.
  • Supaya kerajaan dapat menyediakan kemudahan-kemudahan yang bertepatan dengan OKU.
  • Supaya kerajaan dapat mengenalpasti OKU mengikut jenis-jenis kecacatan atau sebagai kad pengenalan diri bagi mereka berurusan dengan pihak-pihak berkenaan.
  • Supaya OKU dapat menggunakan kemudahan-kemudahan dan keistimewaan oleh kerajaan.
  • Supaya OKU mendapat maklumat program-program latihan, pendidikan dan pemulihan bagi golongan kurang upaya.

 
2.2 Adakah pendaftaran OKU wajib?

Pendaftaran OKU adalah atas dasar sukarela dan hanya untuk warganegara Malaysia yang bermastautin di Malaysia. Agensi yang terlibat dalam pendaftaran adalah Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Kementerian Kesihatan Malaysia.


2. 3. Apakah Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK)  

Satu pusat dalam komuniti untuk golongan OKU menjalani pemulihan dalam komuniti dan masyarakat sendiri di mana memberi peluang kepada OKU menjalani pemulihan, mengecapi peluang sama rata dan berinteraksi dengan masyarakat. Program ini memerlukan penyertaan dan penglibatan aktif OKU, ibu bapa / keluarga / penjaga dan masyarakat setempat dengan memaksimumkan penggunaan sumber tempatan yang sedia ada dalam komuniti


2.4. Bagaimanakah permohonan kemasukan ke PPDK?  

Ibu bapa atau penjaga boleh membuat permohonan kemasukan melalui Pertubuhan Kebajikan Sukarela (PSK) yang mengendalikan PDK berhampiran tempat kediaman. Pemohon diminta melengkapkan dan menghantar borang serta dokumen yang berkaitan kepada PSK berkenaan.


2.5. Apakah jenis bantuan yang ditawarkan oleh JKM kepada golongan OKU?  

Perkhidmatan bantuan yang ditawarkan kepada golongan OKU adalah seperti berikut:
  1. Skim Bantuan Kewangan Bulanan (Bantuan Penjagaan Pesakit Kronik/OKU Terlantar, Bantuan OKU Tidak Bekerja dan Elaun Pekerja Orang Kurang Upaya)
  2. Bantuan Alat Tiruan/ Sokongan
3. PEMBANGUNAN KOMUNITI SUKARELA (PSK)

3.1. Apakah jenis-jenis geran yang disediakan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak (JKMS)? 

Ada 2 jenis geran yang disediakan di JKMS untuk Pertubuhan Bukan Kerajaan  (NGO) yang berdaftar dengan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN)
dan ianya terbahagi kepada dua (2) iaitu:

  1. Geran Aktiviti Negeri  dan

  2. Bantuan Kewangan Kerajaan (Persekutuan)


3.2. Bagaimanakah cara untuk memohon Geran Aktiviti Negeri dan Bantuan Kewangan Kerajaan (Persekutuan) di JKMS?
 

  1. Geran Aktiviti Negeri permohonan boleh dibuat dengan mengisi Borang Permohonan yang boleh didapati di Pejabat Kebajikan Masyarakat Bahagian (PKMB) dan Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah (PKMD) di seluruh Sarawak.

  2. Bantuan Kewangan Kerajaan boleh dimohon melalui Portal MyCorporate Care https://mycorporatecarejkm.jkm.gov.my


3.3. Apakah itu MyCorporate Care?  

Sistem MyCorporate Care (MyCC) merupakan satu platform secara dalam talian yang bertujuan untuk menggalakkan pewujudan masyarakat penyayang dan merealisasikan “Kebajikan Tanggungjawab Bersama” dalam kalangan masyarakat.
Pelaksanaannya adalah melalui kolaborasi strategik di antara Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dengan sektor kerajaan, sektor korporat, syarikat swasta, NGO, sukarelawan dan individu berdasarkan kepada  Tanggungjawab Sosial Korporat (Corporate Social Responsibility – CSR),  “Komuniti untuk Komuniti” dan nilai “Berkat Berjasa”.


3.4. Bagaimanakah cara Syarikat korporat untuk berdaftar sebagai penyumbang dalam Portal MyCorporate Care?  

Proses pendaftaran adalah berkonsepkan “Self Registration” Syarikat Korporat yang ingin menyumbang perlu mendaftar sebagaimana berikut: 
 

  1. Tekan butang Register di bahagian atas halaman utama

  2. Lengkapkan bahagian maklumat korporat.

  3. Lengkapkan id pengguna/Maklumat log-masuk

  4. Setelah lengkap, tekan butang register

  5. Setelah  mendapatkan id dan kata laluan Syarikat Korporat boleh masuk sebagai pengguna portal untuk membuat sumbangan

  6. Log masuk ke dalam sistem

  7. Lihat senarai keperluan Pertubuhan Sukarela Kebajikan

  8. Masukkan sumbangan ke dalam Senarai Sumbangan.

  9. Hantar sumbangan untuk pengesahan

  10. Semak status sumbangan

 
3.5. Bagaimanakah cara untuk melibatkan diri dalam kerja-kerja sukarela?  

  1. Mencari maklumat mengenai organisasi sukarela dan peluang, bidang serta tugas sebagai sukarelawan.

  2. Memilih bidang yang diminati dan golongan yang ingin dibantu bersesuaian dengan kebolehan dan kemahiran diri.

  3. Menentukan cara dan waktu untuk melakukan kerja-kerja sukarela di samping tugas-tugas dan tanggungjawab lain.

  4. Perkara-perkara lain yang perlu dipertimbangkan juga ialah latihan, kepuasan terhadap tugas tersebut, turut melibatkan ahli keluarga dan lain-lain.

 
3.6. Siapakah itu Sukarelawan Kebajikan?  

Sukarelawan JKM adalah individu yang memberi khidmat sukarela dalam mengesan kes-kes yang memerlukan perkhidmatan dan bantuan kebajikan masyarakat.
Sukarelawan JKM adalah seorang yang peka dan komited dengan kerja-kerja kebajikan masyarakat berasaskan Kumpulan Sasar JKM.
 

3.7. Bagaimanakah cara untuk memohon menjadi Sukarelawan JKM?  

Permohonan boleh dibuat dengan hadir ke PKMB / PKMD ATAU Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri.
Borang permohonan juga boleh dimuat turun  melalui portal MyCorporate Care.


3.8. Apakah keistimewaan berdaftar sebagai seorang Sukarelawan JKM?  

Sukarelawan JKM terlibat dalam pelbagai aktiviti yang dijalankan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat, di peringkat negeri, daerah dan institusi serta institusi kelolaan Pertubuhan Sukarela Kebajikan. 
Sukarelawan JKM  juga dapat menabur bakti dan membantu Jabatan menyantuni golongan sasar  atau golongan yang memerlukan secara langsung melalui program atau aktivit berikut:
 

  1. Perkhidmatan Sokongan Sosial, Bimbingan & Kaunseling

  2. Khidmat Pemulihan dan Kesihatan, Pendidikan Moral dan Akademik

  3. Program Keagamaan, Sukan, Kebudayaan & Kesenian

  4. Penempatan Pekerjaan

  5. Program Khidmat Bantu Di Rumah (Home Help Services)

  6. Pengurusan Bencana

 
3.9. Apakah itu Program Khidmat Bantu Di Rumah (KBDR)?  

Program KBDR merupakan satu program yang memberi khidmat sokongan sosial kepada warga emas dan OKU terutama bagi mereka yang tinggal bersendirian atau bersama ahli keluarga yang memerlukan bantuan dan sokongan sosial.
Program ini merupakan perkhidmatan yang bercorak pendampingan sosial (social outreach) kepada warga emas atau OKU di mana Petugas KBDR mengadakan lawatan ke rumah warga emas atau OKU untuk memberikan perkhidmatan sokongan.  


3.10. Apakah ganjaran yang akan diterima oleh Sukarelawan Program Khidmat Bantu DiRumah (KBDR)?  

Saguhati kepada Sukarelawan Program KBDR adalah sebagaimana berikut iaitu:
 

  1. RM1,500.00 sebulan adalah insentif saguhati kepada Penyelaras Program iaitu Penyelaras Kebangsaan;

  2. RM1,000.00 sebulan adalah insentif saguhati kepada Penyelaras Program iaitu Penyelaras Negeri;  

  3. RM500.00 adalah insentif saguhati kepada Penyelaras Daerah/Jajahan/Bahagian;

  4. RM400.00  adalah insentif saguhati kepada Petugas KBDR yang telah memberi perkhidmatan kepada warga emas atau OKU sekurang- kurangnya 32 jam bagi 4 orang klien dalam sebulan.

4. KENYALANG GOLD CARD (KGC)

4.1 Pemohon boleh terus ke laman web yang disenaraikan untuk maklumat lanjut mengenai KGC: https://kenyalanggold.com/
dan/atau memohon secara dalam talian melalui https://isarawakcare.sarawak.gov.my/apply-now/