BM  | EN
Tema: Biru dan Hijau Tema: Biru dan Hijau Tema: Merah Tema: Hijau
Latar Belakang: 1 Latar Belakang: 2 Latar Belakang: 3 
Kemaskini Pada: 19 Ogos 2017
Versi 8.0.2
Seksyen Psikologi Dan KaunselingSeksyen Psikologi Dan Kaunseling

1. Apa itu kaunseling?

    Kaunseling merupakan satu proses hubungan menolong secara profesional bertujuan
    untuk membantu individu memahami diri, situasi dan persekitarannya supaya boleh mencari
    penyelesaian kepada masalah yang dihadapinya.

    Dalam kaunseling,  individu dibimbing untuk mencari sumber kekuatan dan juga kelemahan
    dirinya sendiri bagi menggerakkan perubahan yang positif ke arah menyelesaikan masalah
    atau isu  yang mengganggu fungsi harian atau rutin seseorang individu itu.
    Kerahsiaan (privasi) dan kesukarelaan merupakan ciri utama dalam perhubungan kaunseling

2. Adakah saya perlu membayar untuk mendapatkan perkhidmatan kaunseling di Jabatan  
     Kebajikan Masyarakat?

     Tidak, perkhidmatan kaunseling diberikan secara percuma.

3. Siapa yang boleh mendapat perkhidmatan kaunseling?

    Sesiapa sahaja boleh mendapatkan perkhidmatan kaunseling termasuk kanak-kanak,
    remaja, ibu bapa, keluarga, ibu atau bapa tunggal, pasangan berkahwin, orang kurang upaya
    (OKU) bukan mental, warga tua dan lain-lain.

4. Bagaimanakah caranya untuk mendapat perkhidmatan kaunseling

  • Anda boleh datang sendiri ke mana-mana Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah/Negeri yang berhampiran dengan anda.
  • Anda boleh menghubungi melalui telefon untuk mendapatkan tarikh temujanji.
  • Melalui surat menyurat.
  • Melalui E-mel

5. Apakah perkhidmatan yang disediakan oleh Seksyen Kaunseling  dan Psikologi?

    Perkhidmatan utama yang disediakan oleh Seksyen Kaunseling dan Psikologi ialah Bengkel
     Interaktif Akta Kanak-Kanak 2001.       

    Bengkel Interaktif adalah satu program  intervensi yang dirancangkan secara holistik
    khusus  untuk memberi peluang kepada ibu bapa atau penjaga bersama anak (yang
    diperintahkan oleh mahkamah) menyertai aktiviti-aktiviti interaktif yang akan membolehkan
    mereka berinteraksi secara aktif dan positif serta bersama-sama memperolehi pengalaman
    pembelajaran untuk dijadikan asas penyelesaian masalah keluarga secara bersama-sama    

    Matlamat Bengkel Interaktif ialah untuk mewujudkan suatu bentuk hubungan keluarga yang
    positif serta perasaan saling memahami antara ibu, bapa atau penjaga dan anak yang
    mengalami masalah supaya bersama-sama menghadapi masalah mereka seterusnya
    membentuk keluarga yang harmoni dan sejahtera.

    Antara intervensi yang dijalankan ke atas keluarga yang diperintahkan untuk menghadiri
    Bengkel Interaktif ialah penaksiran individu / keluarga, kaunseling, psikopendidikan dan
    retreat keluarga.

    Perkhidmatan lain juga ada disediakan iaitu perkhidmatan kaunseling dan perkhidmatan
    psikologi seperti berikut:

    Perkhidmatan Kaunseling

   Perkhidmatan Psikologi

 

  • Kaunseling Individu
  • Kaunseling Kelompok
  • Kaunseling Perkahwinan
  • Kaunseling Keluarga
  • Telekaunseling
  • E-Kaunseling
  • Bimbingan

 

 

  • Intervensi krisis /bencana
  • Psikoterapi
  • Penaksiran Psikologi
  • Perundingan psikologi individu / keluarga
  • Khidmat konsultasi
  • Program  Psikopendidikan dalam bentuk ceramah, kursus, bengkel, seminar dan sebagainya.

 

 

 

 

 

 

 


6.
Apa itu perkhidmatan psikoterapi?

    Psikoterapi merupakan terapi psikologi yang memfokus kepada masalah khusus dan kronik
    yang memerlukan penerokaan lebih mendalam.

    Terapi digunakan sebagai alat (tool) untuk menggalakkan pengluahan perasaan dan
    pemikiran kanak-kanak yang tidak begitu cenderung untuk bercakap tentang diri atau
    perasaannya seperti seorang dewasa. Ia sesuai untuk kanak-kanak yang secara fitrahnya
    kaya dengan imaginasi dan kreativiti yang perlu dirangsang dan diekspresikan melalui
    saluran yang sesuai

    Perkhidmatan psikoterapi ada ditawarkan di institusi kanak-kanak bawah Jabatan kebajikan
    Masyarakat. Perkhidmatan psikoterapi yang ditawarkan adalah berasaskan pendekatan
     bermain dan ekspresif
yang menggunakan kepakaran daripada Universiti Islam Malaysia
     (USIM)

    Antara khidmat psikoterapi yang disediakan ialah :

Bil

Nama Terapi

Tujuan Terapi

1.

Terapi muzik

Menghilangkan tekanan, mengawal ritma fungsi badan seperti jantung dan suhu badan dan meningkatkan kemahiran sosial

2.

Terapi seni lukisan

Mengalakkan pengluahan perasaan, fikiran dan pengalaman peribadi melalui lukisan kreatif di tahap luar sedar

3.

Terapi seni tanah liat

Menggalakkan eksplorasi mengenai konsep-konsep hidup yang sukar dan membantu pengluahan emosi

 4.

Terapi bercerita

Meransang pemikiran, mengembangkan idea kritis dan meningkatkan keyakinan kendiri dan daya kreativiti

5.

Terapi Psikodrama

Mengalakkan pengluahan perasaan, penerokaan konflik dalaman, masalah interpersonal dan mengurangkan rasa terasing.

6.

Terapi pasir

Menggalakkan pengluahan perasaan takut, sedih dan marah yang terpendam serta meneroka aspek dalaman diri bawah sedar dalam suasana yang selamat dan tiodak menghukum

7. Apa itu krisis dan intervensi krisis?

     Krisis merupakan persepsi atau pengalaman terhadap peristiwa atau situasi yang sangat
    sukar seperti penderaan, kematian orang tersayang, dirogol, diragut, diculik, bencana alam
    dan sebagainya. Seseorang yang mengalami krisis akan berasa hilang upaya untuk
    bertindak sehingga menyebabkan kecelaruan dan kekecewaan.

    Intervensi Krisis pula merupakan satu kaedah segera untuk membantu seseorang yang
    mengalami krisis demi mencegah atau mengurangkan perasaan ketidakupayaan individu itu
    supaya mampu bertindak sewajarnya untuk mengatasi krisis yang dihadapi.

8. Bagaimana caranya untuk mendapatkan hasil kaunseling yang berkesan?

   Kaunseling itu satu proses di mana perubahan positif yang serta merta tidak semestinya
   boleh berlaku. Kaunseling yang berkesan bergantung kepada sejauh mana seseorang individu
   itu berasa sukarela dan sanggup memberikan komitmen untuk dibantu sepenuhnya. Faktor
   lain yang mempengaruhi keberkesanan kaunseling ialah hubungan yang berasaskan
   kepercayaan, keselesaan dan keserasian antara seorang Kaunselor dan individu yang perlu
   dibantu.